Saturday 11 January 2014

SYEIKH AHMAD DEEDAT


Berikut adalah nukilan tentang Syeikh Ahmad Deedat yang sangat dikenali kerana berani berhujah dengan paderi-paderi kristian berkaitan akidah,silalah baca:

 ---------------------------------------------------------------------------------------

Ahmad Hoosen Deedat atau lebih dikenali sebagai Syeikh Ahmad Deedat ataupun Syeikh Deedat dilahirkan pada 1 Julai 1918 di daerah Surat di India. Beliau bersama keluarga telah berpindah ke Afrika Selatan pada tahun 1927 di mana beliau mendirikan institut pengajian Islam pertama di Afrika Selatan. Beliau juga telah memegang jawatan presiden bagi IPCI (Islamic Propagation Centre International) yang meletakkan misi untuk menyebarluaskan mesej Islam ke seluruh dunia sebagai matlamat utama.

 
Sepanjang hayat dakwah beliau, Syeikh Deedat telah menghasilkan 20 buah buku yang telah diterjemahkan ke ratusan bahasa. Syarahan pertama beliau diberi tajuk “Muhammad (pbuh): Messenger of Peace”. Dari syarahan yang hanya sekadar didengari oleh 15 orang, pengikut Syeikh Deedat bertambah dan semakin bertambah mencapai angka jutaan. Syekh Deedat paling dikenali melalui sesi debat beliau dengan seorang paderi terkemuka Amerika, Jimmy Swaggart. Debat bertajuk “Is The Bible the Word of God” ini berlangsung di hadapan 8000 orang hadirin.
Di kalangan masyarakat Barat, Syeikh Deedat lebih dikenali sebagai seorang ulamak Bible berbanding ulamak Islam. Hal ini disebabkan pengetahuan beliau yang sangat mendalam mengenai bible. Melalui dakwahnya, Syeikh Deedat lebih banyak menggunakan Bible dalam berhujah terutamanya apabila berdepan dengan paderi-paderi Kristian. Pendekatan ini digunakan Syeikh Deedat adalah kerana sikap paderi-paderi Kristian yang umumnya enggan mengiktiraf sumber selain dari Bible. 


Pada 3 Mei 1996, Syeikh Deedat telah diuji Allah s.w.t dengan penyakit lumpuh. Oleh yang demikian, Syeikh Deedat telah hilang kemampuan untuk bergerak dan bercakap. Dengan hanya berbekalkan keupayaannya untuk menggerak mata, Syeikh Deedat meneruskan hayatnya sehinggalah Tuhan menjemputnya pada 8 Ogos 2005. Saat-saat hidupnya digunakan hanya-sanya untuk dakwah Islam. Usaha Syeikh Deedat ini tetap berterusan walaupun beliau hanya mampu terbaring di atas katil. Mesej Islam semasa sakitnya tetap sama dengan mesejnya semasa sihat. Hujjahnya tetap kuat dan teguh dalam berhadapan dengan paderi-paderi yang datang melawat.








No comments:

Post a Comment